Assalamu’alaikum dan Salam Sejahtera.
Syukur Alhamdulillah kepada Allah, Tuhan sekelian alam kerana dengan taufiq dan inayahNya jua saya dapat bersua di alam maya ini, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W, Rasul yang diutuskan sebagai perantara untuk memberi rahmat kepada seluruh alam.
Saya mengucapkan selamat datang dan amat berbesar hati untuk mengalu-alukan anda semua ke laman sesawang rasmi Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahaya Ahmad (IKM TSYA). Laman sesawang ini dibangunkan sebagai salah satu sumber maklumat kepada setiap pengunjung laman ini samada warga kerja, pelajar, ibu bapa dan juga orang awam. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu sistem penyampaian terutamanya dengan pelbagai kemudahan media digital tanpa sempadan, laman sesawang dibangunkan dengan menyediakan pelbagai sumber maklumat mengenai informasi pengurusan institusi kami, program yang ditawarkan, cara pembelajaran, kemudahan, perkhidmatan kami dan pelbagai aktiviti semasa.
Selaras dengan era golabalisasi dan dalam memenuhi keperluan industri negara yang memerlukan tenaga mahir dan separa mahir yang ramai, maka institusi teknikal dan vokasional (TVET) telah melalui era transformasikan dari segi penyampaiannya bagi mempertingkatkan tarikan kepada para pelajar lepasan SPM sebagai laluan pendidikan pilihan utama bagi menyambung pelajaran ke peringkat yang seterusnya.
Institusi TVET ini bertujuan untuk menyediakan belia dan beliawanis Malaysia memperolehi pekerjaan dalam pelbagai bidang pekerjaan perindustrian. Institusi-institusi ini adalah antara usaha kerajaan dalam mengeluarkan pekerja mahir yang diperlukan oleh industri serta menghasilkan teknologi ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
TVET MARA yang bernaung dibawah KEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH (KKDW) telah memiliki 10 buah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan 14 buah Institut Kemahiran MARA (IKM) termasuk IKM TSYA dengan menawarkan pelbagai bidang kemahiran seperti bidang arka dan gas, automotif, pembuatan, elektrik dan elektronik, bangunan, perabot dan sebagainya bagi peringkat sijil dan diploma.Visi MARA bagi penubuhan institusi TVET ini adalah untuk menjadi organisasi pendidikan amanah yang unggul dan diberkati untuk mengangkat martabat bangsa. Manakala misinya pula adalah untuk menerajui pendidikan teknikal dan vokasional dalam melahirkan modal insan global yang berintegriti, kompeten dan berinovasi serta berpotensi menjadi teknousahawan.
Akhir sekali, saya amat berbesar hati dan berharap agar maklumat yang diberikan dalam laman sesawang ini dapat membantu anda. Diharap juga agar anda boleh menghubungi kami jika terdapat sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut yang diperlukan.
Sekian dan selamat melayari laman sesawang IKM TSYA, Pekan.
DR SUZILASAHIBATUL AKHMAR BINTI AHMAD
Pengarah
Institut Kemahiran MARA
Tan Sri Yahaya Ahmad,
Pekan Pahang